Pages

Wednesday, August 18, 2010

SaYaNgI aKu TeMaNiLaH aKu 17

“ Awak…nak makan?”. Sara menghampiri suaminya dan bertanya selembut mungkin. Ariff merenung isterinya.
“ Tak nak”. Ariff membalas pendek.
“ Tapi…awak memang belum makan lagi kan?”. Sara cuba memujuk perlahan.
“ Saya tak nak…awak makanlah”. Ujar Ariff serius. Sara hanya mampu menganggukkan kepalanya. Sara terus berlalu. Dia ke dapur hanya untuk mengemaskan meja dan menyimpan lauk. Sungguh dia tiada selera untuk makan. Agak lama dia termenung di dapur. Kemudian apabila terasa tubuhnya penat dia bangkit dan ingin naik ke biliknya. Sebelum itu sempat dia membuat air nescaffe untuk Ariff.

“ Air…”. Sara meletakkan cawan atas meja berhadapan Ariff. Ariff sekadar mengangguk.
“ Saya naik atas dulu ye…”. Ariff hanya membisu. Sara terus melangkah. Begitulah Ariff sejak akhir-akhir ini. Lebih banyak termenung dan bersendirian. Ariff tidak lagi mengendahkan dia seperti dulu. Sara cuba bersabar dengan karenah suaminya. Dia tahu dulu Ariff juga pernah bersabar dengan karenahnya.

Sara terus merebahkan tubuhnya ke atas tilam sejurus naik ke biliknya itu. Tubuhnya terasa begitu penat. Kepalanya berdenyut-denyut. Lantas dia cuba memejamkan matanya untuk tidur. Tidak lama kemudian Ariff naik dan merebahkan tubuhnya di sisi Sara. Sara pura-pura tidur. Ariff memandang sekilas kepada isterinya. Wajah isterinya pucat. Namun Ariff menyangkakan Sara sudah tidur.

“ Maafkan saya…saya tak berniat nak layan awak macam ni…”. Ujar Ariff perlahan sambil mengusap perlahan rambut isterinya. Setelah itu dia berpaling membelakangkan isterinya. Sara membuka matanya. Dia dapat mendengar dengan jelas apa yang diperkatakan oleh Ariff tadi. Namun tidak lama kemudian dia memejamkan matanya semula dan cuba untuk tidur. Oleh sebab tubuhnya terlalu penat, dia terlena beberapa ketika kemudian.
……………………………………………………………………………………………………………………………………..
“ Awak…saya nak balik rumah ibu kejap…lepas maghrib saya balik rumah”. Sara memohon keizinan Ariff untuk ke rumah ibunya selepas pulang waktu kerja hari itu. Kebetulan Ariff juga pulang awal petang itu. Ariff hanya menganggukan kepalanya, kemudian berlalu. Sara memang terasa hati dengan sikap Ariff sejak akhir-akhir ini, namun dia tidak mahu memanjangkan perkara itu. Hubungan mereka berdua memang agak dingin.
“ Tunggu…”.Ujar Ariff apabila Sara ingin menghidupkan enjin keretanya. Sara mengalihkan pandangannya kepada Ariff.

“ Naik kereta saya”. Ujar Ariff lagi. Sara memandang suaminya hairan.
“ Saya pergi sekali…”. Sara menganggukkan kepalanya, lantas mengunci keretanya dan masuk serta duduk di kerusi di sebelah pemandu. Apabila sampai sahaja di rumah ibunya, segera Sara ingin turun dari kereta. Ariff menghalang Sara daripada keluar dengan memegang bahu isterinya. Sewaktu dalam perjalanan tadi, mereka masing-masing hanya membisu.

“ Jangan lupa…panggil saya abang, bahasakan diri awak Sara…”. Ujar Ariff namun nada suaranya serius. Sara menganggukkan kepalanya. Kemudian dia dan Ariff masuk ke dalam rumah ibunya bersama-sama. Ibu dan ayah hanya tersenyum panjang melihat anak dan menantu mereka.
“ Ibu…ayah…sihat?”. Tegur Ariff dan menyalami kedua mertuanya. Ibu dan ayah mengangguk serentak. Ariff melemparkan senyuman. Waktu itu di rumah hanya ada ayah dan ibu sahaja, yang lain masih belum pulang. Sara juga turut menyalami ibu dan ayahnya. Setelah itu, Sara duduk di sofa berhadapan ayah dan ibunya. Ariff menuruti langkah Sara dan duduk di sisi Sara. Dia merapatkan tubuhnya ke sisi Sara, sehingga bahu kanan Ariff berada di bawah bahu kiri Sara dan tangannya di lunjurkan di atas sofa membelakangkan tubuh Sara. Sara hanya membiarkan. Dia tahu, Ariff sengaja berbuat demikian.

“ Tuang air ni Sara…”. Ujar ibu kepada anaknya sambil mengunjukkan ke arah teko di hadapannya. Sara menuruti arahan ibunya.
“ Awal kamu balik kerja hari ni…sempat singgah ke mari…”. Ayah membuka bicara.
“ A’a ayah…lama tak datang sini…Sara rindu kat ibu dengan ayah”. Jawab Ariff lantas memaut bahu Sara sebentar dan tersenyum. Sara membalas senyuman itu. Dia tahu Ariff sedang berlakon, namun dia juga turut perlu berlakon dengan baik di hadapan ibu dan ayahnya. Ibu tersenyum melihat aksi anak dan menantunya.

“ Bu…mana yang lain? Tak nampak pun…”. Ariff menyambung bicara lagi.
“ Mmm…Aizat pergi main bola…abang-abang dan kakak-kakak kamu masing-masing kat rumah mereka lah…sibuk…”. Jawab ibu sambil tersenyum. Ariff membalas senyuman ibu mertuanya. Sara hanya mendengar.
“ Sara…ambilkan abang air masak…”. Ujar Ariff sambil merenung isterinya. Sara menganggukkan kepalanya. Lantas dia bangkit menuju ke dapur. Ayah dan ibu tersenyum lagi. Ariff perasan ayah memerhatikan Sara dari tadi. Tidak lama kemudian Sara tiba dengan segelas air masak di tangan. Dihulurkan air itu kepada suaminya. Ariff menyambutnya dengan senyuman.

“ Abang…Sara nak naik bilik jap ye…nak ambil barang…”. Ujar Sara. Ariff hanya menganggukkan kepalanya. Ibu juga waktu itu bangkit dan ingin menuju ke dapur. Tinggal ayah dan Ariff dan mereka berbual kosong. Ariff cuba beramah dengan ayah mertuanya. Sememangnya Ariff tidak lokek senyuman. Tidak lama selepas itu Sara turun sambil tangannya memegang satu beg plastic. Ariff hanya memerhati dari jauh. Sara menghampiri suami dan ayahnya.

“ Abang…kunci kereta…Sara nak letak dalam kereta, takut terlupa nanti”. Ujar Sara dan melempar senyuman kepada ayahnya.
“ Apa tu?”. Ayah bertanya.
“ Baju Sara ayah…dulu tak bawa semua…sara nak pakai pergi kerja”. Ayah hanay menganggukkan kepalanya. Ariff menghulurkan kunci kereta kepada isterinya. Sara menyambutnya kemudian terus menuju ke luar kereta dan memasukkan ke dalam kereta.
“ Sara ada buat apa-apa yang tak elok ke Ariff sepanjang perkahwinan kamu berdua?”. Ayah bertanya serius.

“ Tak de ayah…Sara isteri yang baik, dia tak pernah sikit pun mengecewakan saya ayah…saya beruntung dapat isteri macam dia…kami bahagai ayah…ayah janganlah risau”. Jawab Ariff serius. Waktu itu Sara baru mahu masuk ke rumah. Dia terdengar perbualan Ariff dan ayahnya. Air matanya terasa ingin jatuh. Namun segera dia mengawalnya. Dia cuba melemparkan senyuman dan tertawa. Dia berjanji dengan dirinya sendiri bahawa apa yang terjadi antara dia dan suaminya biarlah tidak diketahui oleh ibu dan ayahnya. Sara masuk ke dalam rumah dan terus menuju ke dapur. Malam itu mereka makan malam di rumah ibu. Selepas makan malam, Ariff dan Sara meminta diri untuk pulang. Dalam perjalanan pulang ke rumah, Ariff membuka bicara.

“ Kita kekalkan je panggilan tadi…kalau kita berbohong pun, nanti terbongkar juga…”. Sara merenung suaminya. ‘ Kita memang dah banyak bohong ayah dan ibu wak…’. Ujar Sara dalam hati.
“ Sara….”. Ariff memanggil isterinya perlahan apabila dilihatnya Sara termenung dan renungannya masih pada Ariff. Sara terkejut.
“ Ye…awak cakap apa?”. Ujar Sara. Ariff memandang tajam wajah isterinya. Sara terkedu kemudian menutup mulutnya.

“ Maaf…saya…eh Sara terlupa…abang…”. Jawab Sara gugup. Ariff tergelak perlahan. Sara menundukkan wajahnya. Tidak lama kemudian Ariff serius kembali.
“ Saya serius…lagi pun lebih elok panggilan tu…secara jujurnya saya lebih selesa macam tu…”. Ujar Ariff sambil merenung isterinya sebentar kemudian menumpukan semula fokusnya kepada pemanduan. Sara dapat merasakan Ariff jujur dan ikhlas dengan kata-katanya tadi. Setelah itu masing-masing hanya membisu sehingga sampai ke rumah. Setibanya di rumah, masing-masing menguruskan hal sendiri dan masuk tidur selepas itu.
………………………………………………………………………………………………………………………………………