Pages

Thursday, July 22, 2010

SaYaNgI aKu TeMaNiLaH aKu 15

Pagi itu Ariff tidak bangun seperti biasa. Lazimnya dia akan bangun sebelum Sara, walaupun masih baring di atas katil , dia membiarkan Sara mandi dahulu. Namun pagi ini tidak, Sara bangkit seawal jam 5.30 pagi, Ariff masih diulit mimpi. Sara terus mandi dan selepas itu dia mengejut Ariff. Hari itu dia tidak boleh solat kerana uzur. Apabila disentuh badan Ariff panas.

“ Awak…”. Sara memanggil suaminya perlahan. Ariff hanya menyahut dengan suara yang perlahan. Sara memegang dahi Ariff. ‘Panas’. Ujarnya perlahan.
“ Awak demam ni…mm..macam mana ni”. Sara kaget sendirian. Sungguh dia risau dengan keadaan Ariff, namun bingung.

“ Saya sejuk…”. Ujar Ariff lemah. Lalu Sara bangkit dan mematikan suis penghawa dingin di biliknya kemudian menyelimutkan suaminya dengan selimut tebal yang diambil di dalam almari. Sara menggaru kepalanya perlahan. Namun akhirnya dia bangkit dari katil dan bersiap seadanya. Kemudian dia menghampiri Ariff dan berkata perlahan.
“ Awak kita pergi klinik ye?”. Ariff hanya menggelengkan kepalanya.
“ Tapi awak demam ni…nanti melarat kalau dibiarkan…”. Sara bersuara serius. Ariff masih menggeleng dan menarik selimutnya.

“ Awak ni degil lah…macam budak-budak…”. Ariff hanya membisu. Sara dapat merasakan Ariff terasa dengan kata-katanya apabila Ariff memalingkan wajahnya. Sara terdiam sebentar. Kemudian duduk di sisi suaminya.
“ Awak saya minta maaf…saya tak niat nak buat awak kecil hati…saya Cuma bimbang…kalau melarat nanti awak juga yang tanggung kan”. Ujar Sara perlahan.
“ Saya Cuma nak rehat…nanti saya makan panadol”. Ariff membalas perlahan.
“ Awak ni memang degil…”. Sara berkata dalam hati.

“ Huh…ok lah kalau macam tu…saya pergi buat sarapan dulu…nanti awak makan panadol lepas makan”. Ariff hanya mengangguk lemah. Sara terus turun ke bawah untuk menyediakan sarapan. Dia hanya memasak bubur nasi untuk Ariff. Selepas selesai, dia naik ke atas sambil membawa bubur nasi yang dimasaknya tadi. Lalu mengejutkan suaminya.

“ Awak…makan dulu, nanti lepas tu boleh awak makan ubat”. Ujar Sara sambil membantu Ariff bangun. Ariff hanya menyuap sesudu dua, setelah itu dia menghulurkan mangkuk bubur kepada Sara. Sara menggeleng perlahan.
“ Awak tak boleh macam ni…makanlah banyak sikit”. Ujar Sara, namun Ariff menjawab lemah.

“ Saya tak ada selera”. Sara menyambut mangkuk itu dan meletakkan di atas meja di sisi katil. Lalu menghulurkan panadol dan air masak kepada Ariff.
“ Terima kasih…awak pergi lah kerja, saya ok…Cuma nak rehat”. Ujar Ariff selepas menelan ubat.
“ Tak apa..saya ambil cuti setengah hari…nanti petang lepas zohor saya masuk kerja”. Sara membalas tegas. Ariff hanya diam. Sara bangkit perlahan apabila melihat Ariff ingin menyambung tidurnya, namun ketika Sara mengambil dulang berisi mangkuk bubur dan gelas air masak tadi untuk dibawa ke dapur Ariff memanggilnya.

“ Awak…tolong ambilkan telefon saya…dail nombor Shakir”. Sara meletakkan dulang itu kembali kemudian mengambil telefon Ariff di atas meja solek.
“ Tolong cakap dengan dia…saya cuti hari ni”. Ariff menyambung kata. Sara hanya menuruti arahan Ariff. Selepas itu dia turun ke dapur. Ariff ingin menyambung tidur, namun kepalanya berdenyut-denyut. Dia memicit-micit kepalanya perlahan. Sara masih di bawah, meneruskan kerja-kerjanya di dapur. Dia sengaja membiarkan Ariff berehat. Apabila jam menunjukkan pukul 10 pagi, Sara naik ke biliknya. Dia lihat Ariff tiada atas katil, Sara memanggil perlahan.

“ Awak…”. Namun panggilannya tidak bersahut. Sara mendekatkan kepalanya ke pintu bilik air. Senyap. Sara mengetuk pintu bilik air. Namun masih senyap seperti tadi. Hatinya jadi tidak enak, lantas dia menolak pintu dan terkejut melihat Ariff terbaring di atas lantai. Lantas dia memangku kepala Ariff.
“ Awak…”. Sara kaget. Dia menangis. Ariff masih tidak bergerak.
“ Awak, bangunlah…jangan takutkan saya…kenapa awak tak panggil saya tadi”. Ujar Sara dalam tangisan. Namun akhirnya, dia bangkit dan menarik Ariff perlahan keluar dari bilik air. Dengan susah payah dia melakukannya. Selepas itu, dia mendail nombor rumah mama.

“ Mama…Ariff”. Ucap Sara dengan air mata yang tidak tertahan. Mama juga gelisah mendengar suara menantunya.
“ Kenapa, Sara?”.
“ Ariff…dia demam, lepas tu masa Sara kat bawah tadi…dia…entah Sara tak tahu…dia terlantar kat lantai bilik air…ma…tolong Sara ma…”.
“ Sabar Sara…nanti mama dengan papa datang”. Ujar mama dengan segera. Nasib baiklah rumahnya dengan Ariff tidak berapa jauh. Sara memangku kepala Ariff dan memanggil nama suaminya perlahan. Air matanya masih mengalir seperti tadi. Sungguh dia risau dengan keadaan suaminya.

Tadi sewaktu dia meninggalkan Ariff di bilik, dia fikir Ariff hanya akan berehat di atas katil, tidak disangkanya Ariff akan terjatuh dalam bilik air. Wajah Ariff pucat. Tidak lama kemudian papa dan mama sampai. Mereka membawa Ariff ke hospital. Sewaktu doctor sedang merawat Ariff, Sara duduk di sisi ibu mertuanya.
“ Sara minta maaf ma…Sara yang salah, Sara yang tak jaga Ariff dengan betul..Sara….”. Kata-kata Sara terhenti di situ. Puan Jamilah memandang sayu wajah menantunya.

“ Jangan salahkan diri Sara…Ariff memang macam tu…dia kalau sakit memang tak suka menyusahkan orang, tak sedar akhirnya dia buat orang lain susah hati pasal dia”. Ujar mama sambil mengusap bahu menantunya.
“ Ariff ada sakit apa-apa ke ma sebelum ni?”. Sara bertanya serius. Mama hanya menggeleng. Waktu itu doctor mengahmpiri mereka. Sara terus bangun.

“ Macam mana dengan suami saya doctor? Dia tak apa-apa kan?”. Tanya Sara gelisah. Doktor merenung wajah kedua-dua wanita di hadapannya. Sara semakin resah.
“ Suami puan tak apa-apa, Cuma dia perlukan rehat yang secukupnya…dia sebenarnya tertekan…mungkin ada sesuatu yang mengganggu fikirannya”. Sara merenung lama wajah doctor itu. Mama pula memandang wajah menantunya.

Baru Sara teringat, Ariff memang kelihatan agak tertekan sejak dua menjak ini, mereka sudah tidak mesra seperti dahulu. Ariff lebih suka menyendiri dan tidak banyak meluangkan masanya bersama-sama Sara. Walaupun mereka sudah melakukan kewajipan zahir dan batin dan hidup sebagai pasangan suami isteri yang sempurna, namun Ariff seperti ingin menjauhkan diri daripada Sara. Sara perasan, walaupun Ariff tidak berkasar dengannya tetapi layanan Ariff terhadap Sara berlainan sekali.

Waktu lapang yang ada tidak lagi dihabiskan bersama, masing-masing dengan hal sendiri. Sungguh Sara tidak mahu begitu, namun dia tidak mahu menyoal Ariff tentang kelainan itu. Ariff memang masih lagi seorang suami yang mengambil berat terhadap Sara, tetapi Sara dapat merasakan jurang yang wujud antara mereka. Sara tahu tentu Ariff memikirkan tentang Amira. Siapa Amira sebenarnya dia tidak tahu, tetapi dia tahu pasti ada kisah cinta antara mereka dulu.

Jika tidak mengapa Shakir mengatakan Amira adalah orang yang dicintai dan disanjung oleh Ariff ketika Shakir bertandang ke rumah mereka dulu. Sara tidak tahu kisah sebenar dan sejauh mana kisah cinta mereka. Tiada sesiapa yang pernah memberitahunya. Memang dia cemburu memikirkan suaminya masih memikirkan orang lain di saat dia sudah bergelar isteri kepada lelaki itu. Tetapi dulu dia juga begitu, masih menyintai Zammil waktu di permulaan perkahwinan mereka. Jika dibandingkan, dia lebih teruk kerana masih menyintai lelaki lain yang bukan suaminya. Ariff tidak, tapi dia juga tidak dapat membaca hati Ariff.

“ Sara…”. Mama menegur Sara dan menyentuh bahunya lembut. Doktor itu tadi juga masih memandang Sara.
“ Ye ma…mm…Sara…”.
“ Tak pe lah Sara, mungkin Ariff ada masalah di pejabat…”. Mama memandang doctor sekilas. Doktor tadi tersenyum kemudian bersuara.
“ Beginilah puan, biarkan pesakit berehat…puan berdua jangan bimbang sangat, dia masih stabil…ok puan, saya minta diri dulu”. Ujar doctor muda itu kemudian berlalu. Mama dan Sara keduanya mengangguk. Waktu itu papa menghampiri mereka. Papa bertanya keadaan Ariff, mama yang menjawabnya. Sara sudah masuk ke bilik yang menempatkan suaminya.

“ Awak…”. Sara memanggil Ariff perlahan. Ariff memandang isterinya.
“ Saya minta maaf, tak sepatutnya saya tinggalkan awak sorang-sorang kat bilik tadi…saya…”.
“ Tak pe lah…bukan salah awak, tadi saya nak ke tandas, saya ingat saya mampu nak pergi sendiri…tiba-tiba kepala saya berdenyut-denyut, saya jatuh”. Ujar Ariff perlahan. Waktu itu mama dan papa masuk. Sara meminta diri ke tandas. Air matanya tidak tertahan. Dia melajukan langkahnya. Apabila sampai di satu sudut yang agak sunyi dan jauh sedikit dari ruang lain dalam hospital itu, Sara berhenti dan menyandarkan tubuhnya ke dinding.

Dia menangis di situ. Hatinya berkecamuk. Antara sedih, takut, bimbang, kecewa, kecil hati dan sebagainya. Dia sedih, takut dan bimbang melihat keadaan Ariff sebelum Ariff dirawat tadi, kecewa dan berkecil hati dengan sikap Ariff yang seakan dingin dengannya. Dia sendiri bingung memikirkannya. Ariff sudah berubah, tidak seperti dahulu. Tiada lagi gurau senda dan gelak tawa.
…………………………………………………………………..

No comments:

Post a Comment